top of page
Search

Surat Untuk Fadhlina!


Setelah hampir lapan (8) bulan memerintah Malaysia, PMX dan konco-konconya telah telah menghembus jampi serapah tepat ke ulu hati rakyat. Kita terpana, terpukau dan terkesima dengan tangkal mujarab semisal Madani. Azimat pelindung oleh para dukun-dukun politik yang menerajui negara ini telah menyihir rakyat menjadi bidak di papan catur kuasa serta menerima segala keputusan muluk-muluk pemerintah kudus dan kultus.

Walaupunbegitu- seperti petua para seniman politik- takkan kahwin hari ini, esok bersalin? PMX masih bekerja keras mengumpul koleksi rungutan, dengusan dan keluhan rakyat jelata.

Namun tulisan ini bukan untuk seorang PMX si pendekar jargon yang mahir bersilat lidah itu. Ini adalah seperalat persoalan untuk YB Fadhlina Sidek. Bebelan rakyat yang tidak memahami real politik dan selirat serabut kerja mengurus negara.

Setelah kita lama ditinggalkan oleh memori "kasut hitam" di era Maszlee Malik mengendalikan kerja pendidikan dalam negara, kita dibangunkan daripada tidur panjang yang tidak lena apabila kita dikhabarkan, peneraju pendidikan baharu dengan julukan "daripada aktivis kepada Menteri Pendidikan". Ada yang khuatir, tapi kita masih tetap mahu merayakannya. Ini adalah harapan yang maha besar bagi memastikan letak duduk suara rakyat akar umbi sampai ke cuping telinga elit pemerintah di Putrajaya.

Di ruang sosial, kita sentiasa mencari ruang untuk pembangunan pendidikan yang mampan dan ianya benar-benar memihak dan menyelamatkan semua manusia. Negara turut bersetuju betapa agungnya kerja memandaikan rakyat, buktinya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetap mengungguli carta penerima peruntukan tertinggi RM55.2 pada tahun 2023 bilion berbanding RM52.6 pada tahun 2022.

Cita Pendidikan Era Madani

Sehingga hari ini, kita masih menongkat dagu, menantikan naratif dan bentuk-bentuk pembangunan pendidikan yang organik dan progresif sekaligus menjadi al-masih (penyelamat) kepada semua orang yang berteduh di bawah pemerintahan kerajaan Madani.

Kerja menukang pendidikan agar menjadi pelampung penyelamat rakyat adalah kerja abadi yang sentiasa dipaparkan dalam sejarah tamadun manusia. Merungkai pendidikan menerusi imaginatif perumpamaan gua (allegory of the cave) yang dicanang Plato sehinggalah ke pejuang pendidikan abad ke-20, Paulo Freire, semuanya berhujung dengan faham pendidikan sebagai alat pembebasan.

Bebas kaffah (menyeluruh) tanpa kompromi. Bebas memilih, membuat keputusan dan menggugat fatwa politik. Ianya sebuah perjalanan yang panjang dan tua. Kemungkinan kita masak, namun bukan kita yang menjamahnya. Demikianlah semangat mengepak pendidikan menjadi perjuangan yang sofistikated.

Justeru, mengambil semangat itu, cita pendidikan di era Madani hendaklah benar-benar serius, komited dan konsisten membugar faham pendidikan yang membebaskan rakyat, meleraikan perbudakan dan mengisi kantung perut rakyat. Pendidikan yang tidak mengabaikan, membelakangkan dan meminggirkan rakyatnya serta tidak menafikan hak berpendidikan manusia lain dalam negara yang berdaulat ini.

Tukang Bersama!


YB, ketika kain rentang pendidikan ini tersidai menjadi kain lusuh kepunyaan manusia tertentu untuk mengesat keringat mereka, ianya perlu dicorak, dilakar dan diwarna sesuai kemajmukan dan pluraliti yang menjadi resam dalam negara.

Usaha untuk membuat kerja pendataan dan pemetaan bagi memastikan tiada lagi keciciran pendidikan, tiada lagi bumbung sekolah bocor, tiada lagi kes guru kurung murid, tiada lagi guru ponteng kelas adalah kerja yang harus dikerjakan dan ditukang dengan tekun.

Sebagai wakil rakyat, ianya dilihat sebagai ruang untuk implementasi polisi. Sebagai aktivis ianya misi menyelamat dan pembelaan yang berimpak. Sebagai rakyat, ianya padi yang mengisi perut setiap hari. Kita harus melakukannya- bersama-sama dan menang- atau bersendiri dan kalah.

Di Sabah, kita masih berhadapan dengan kebejatan guru ponteng kelas yang mengeruhkan kolam pendidikan yang sakral, jambatan usang titian anak-anak pedalaman, dan yang paling tak manusiawi iaitu puluh ribu anak-anak rentan masih tidak tahu mengeja s-e-k-o-l-a-h dan meramas pensil menjadi tinta merakam pembantaian dan pengabaian yang berdekad lamanya ini.

Inilah bala bencana yang sedang merobohkan bangunan-bangunan kebersamaan kita. Kita sedang menanggung generasi buta, dibuli, dibantai dan dihenyak. Generasi yang tidak diajar malah digusur.

Menuju dua belas (12) bulan, Madani harus benar-benar praktikal. Ianya harus dicabut keluar daripada tubuh akademik agar ianya tidak tinggal sekadar jargon yang menyumbat teki teka di telinga rakyat. Madani menerusi kerja memakmurkan pendidikan harus memiliki tangan dan jiwa, menyentuh dan meraba rakyat yang lemas dengan projek pembodohan yang menjadi perkakas para pemuka politik yang hanya memikirkan isi pinggannya.

Pendidikan era Madani perlu pembaharuan-tajdid yang serta merta tanpa berdolak dalik agar kita mempersiapkan batalion rakyat yang tidak perlukan manifesto ahli politik namun mampu menyusun dan memutuskan hal yang terbaik untuk nasib bangsanya.

Tentang Penulis: Rien Sd atau Asrin Utong adalah advokator pendidikan alternatif untuk anak-anak rentan. Bekerja dalam sektor impak sosial, penulis serta penganalisis lapangan terkait isu politik dan sosial di Sabah.

(Artikel ini adalah tulisan saudara Rien SD dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Arkin Cahaya)

6 views0 comments

Comentários


bottom of page