Liga Futsal Alternatif 2025: Pentas Inklusif Anak-anak Sekolah Alternatif Sandakan
- cahayasocietyorg
- Aug 30
- 1 min read

SANDAKAN, SABAH: Liga Futsal Alternatif (LFA) 2025 anjuran Cahaya Society dengan kerjasama Kelab Alumni Cahaya (KAC) telah berjaya menghimpunkan lima pasukan sekolah alternatif dan pusat pembelajaran komuniti di Sandakan dalam satu kejohanan sukan yang penuh semangat kebersamaan dan inklusif.
Program tahunan yang berlangsung pada 29 Ogos 2025 di Sandakan Futsal Batu 4 ini melibatkan pasukan Cahaya FT, Teratak Ilmu FT, SAR Al-Azhar, SAR Ikhlas Bakti, dan SAR Saidatina Aisyah. Pertandingan yang bermula seawal jam 9 pagi itu mendapat sokongan padu komuniti dan disertai oleh ratusan penyokong.

Menurut penganjur, objektif utama LFA adalah untuk memupuk semangat setiakawan, kerjasama berpasukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak sekolah alternatif. Lebih daripada itu, ia juga menjadi ruang selamat bagi komuniti rentan untuk bersukan, berinteraksi dan mengangkat nilai pendidikan melalui aktiviti bukan akademik.

“Program ini bukan sekadar futsal, tetapi satu platform pendidikan alternatif. Kami mahu anak-anak belajar tentang disiplin, kerjasama dan solidariti, bukan hanya mengejar kemenangan di padang,” kata Pengarah Program, Mukti Hassan.
Perlawanan berlangsung dalam suasana penuh semangat dan sportiviti, dengan setiap pasukan memberikan saingan sengit sehingga ke pusingan akhir. Selain piala dan medal untuk pemenang, semua pasukan menerima penghargaan kerana komitmen dan semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.

LFA2025 sekali lagi membuktikan bahawa inklusif tidak terhad kepada bilik darjah. Dengan adanya platform seperti ini, anak-anak dari pelbagai latar belakang mendapat peluang untuk berkembang, membina keyakinan diri dan merasai pengalaman sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar.
Comments