top of page
Search

Green ICT Bootcamp 2025 Jayakan Pemerkasaan Belia Sandakan

Sandakan, Sabah: 18 Ogos 2025 – Program Green ICT Bootcamp 2025 berjaya menghimpunkan 50 orang belia berusia antara 12 hingga 22 tahun dari sekitar Sandakan dalam usaha memperkasa pengetahuan dan kemahiran merangkumi bidang alam sekitar, kewangan serta teknologi maklumat. Program selama tiga hari yang berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos 2025 di Gilwell Scout Nature Park, Sandakan ini merupakan sebahagian daripada projek Youth Socio-Economic: Upskilling & Resilience 2025–2027 anjuran Cahaya Society dengan sokongan Allianz Global Sustainability. Rakan strategik yang turut terlibat termasuk Rainforest Discovery Centre (RDC), Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) dan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok (PPOUS).


ree

Green ICT Bootcamp 2025 dirangka bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar, membina semangat kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan belia, serta menggalakkan gaya hidup sihat dan hubungan positif antara manusia dan alam. Pada masa yang sama, program ini turut memberi penekanan kepada literasi ICT dengan memperkenalkan fungsi teknologi maklumat dan komunikasi serta aplikasi alat digital dalam tugasan harian, di samping membudayakan penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab. Belia yang menyertai juga didedahkan kepada konsep asas pengurusan kewangan peribadi, kemahiran merancang bajet dan amalan tabiat kewangan yang lestari sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.


ree

Sepanjang program, peserta telah mengikuti siri latihan praktikal dan bengkel interaktif yang menggabungkan elemen pendidikan alam sekitar, pengetahuan asas teknologi digital, pengurusan kewangan dan asas keusahawanan. Antara pengisian yang mendapat sambutan termasuk lawatan interpretasi alam, pembelajaran mengenai pemeliharaan flora dan fauna, pengurusan sisa buangan secara lestari, serta bengkel literasi digital yang merangkumi latihan perkakasan dan perisian. Turut serta menjayakan program ini ialah seramai 30 orang sukarelawan daripada pelbagai NGO, agensi, institusi akademik dan persatuan tempatan yang memainkan peranan penting dalam kelancaran aktiviti.


ree

Pengarah Program, Wadzkir Abd Hamid menegaskan bahawa penganjuran bootcamp ini membawa mesej penting dalam menghubungkan manusia dengan teknologi dan alam. “Tujuan program ini adalah untuk memanusiakan teknologi dan memastikan semua peserta dalam kalangan pelajar dapat menghargai alam,” katanya. Sementara itu, Penyelaras Program, Norfatimah Abd Halil pula menyatakan bahawa penglibatan aktif peserta menunjukkan keberkesanan pendekatan holistik yang dibawa. “Semua peserta bersemangat untuk mendalami literasi digital, kewangan, keusahawanan dan alam sekitar. Lebih penting daripada itu adalah harapan kita agar peserta dapat mengaplikasikan semua ilmu dalam komuniti masing-masing,” ujarnya.


ree

Bagi peserta, pengalaman yang diperoleh meninggalkan kesan mendalam. “Banyak aku belajar. Pasal haiwan-haiwan di RDC, pasal beruang madu. Dan semua fasi-fasi sangat baik, jaga kami, urus kami di sini. Terima kasih semua,” kata Akim, 12 tahun, salah seorang peserta.


Penganjuran Green ICT Bootcamp 2025 bukan sahaja membuka ruang kepada belia Sandakan untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu, malah turut membina jaringan sokongan komuniti demi masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari. Terima kasih buat semua sukarelawan, fasilitator, kru yang terlibat. Jumpa lagi di Green ICT Bootcamp 2026!

 
 
 

1 Comment


Guest
Aug 19

Semoga berjaya Dunia akhirat semua aminnn

Like
bottom of page