top of page
Search

Mengintai Sepatu Koyak di Hujung Jambatan


This essay was published in the Journal of Svara (Issue II). The author is Asrin Utong (Rien Sd). The writer of the book Muda & Derhaka and part-time writer in an online portal as well as an independent journal in the country. The views in this paper do not necessarily represent the views of the Cahaya Society.

Kira-kira 5 tahun yang lalu, ketika memulai advokasi melibatkan komuniti terpinggir di kawasan pesisir Sabah yang kebanyakannya menggantung lantai perbaringan mereka di atas air yang tak terjamin pasang surutnya di Kg. Leila Sandakan Sabah. Tak tersusun dan caca marba dek kerana tidak diwartakan. Orang-orang mulai memuncung mulut berkata yang bukan-bukan tentang hal ini. Orang-orang di tanah ada yang tidak menyukai mereka yang di atas air. Ada juga yang menjadi buntu mulai bersoal teka; bukankah Sabah itu tanah dan air kita? Ataukah Sabah tanahku? Ataukah Sabah Airku? Masa terlalu suntuk untuk menemukan lagenda yang mahir menangkis pergelutan identiti ini. Sebelum siang menutup tabirnya, dada sudah menjadi sesak menelan jampi-jampi yang sangat prejudis. Bukan menyelak dedebu di bawah lantai, namun mengungkap naratif yang lama dibaham kelam.

Demikianlah deras busut karangan ini dileraikan. Ini kerana kira-kira 5 tahun yang lalu lagi, tragedi-tragedi yang langsung tak berbaur manusiawi telah menelan ombak-ombak kecil di kebanyakan perkampungan rumah atas air. Ada cita-cita yang ditanam namun tak tumbuh di atas jambatan perkampungan ini- Kg. Leila. Sebuah kampung yang terletak kira-kira 2 batu dari Pusat Bandar Sandakan. Serupa dengan kebanyakan perkampungan atas air di Sandakan, Sabah. Majoriti penduduk kampung daripada suku Bajau dan Suluk. Selebihnya- yang minoriti- Bugis. Jarak antara rumah hanya sedepa lebar atau yang lebih rapatpun sejengkal luas. Tetangganya mesra dan menyapa orang ramai lagak air di bawah rumah mencicip kaki jambatan.

Jambatan kayu tiada semua yang baru. Di antara dua dinding kamar rumah, kayu-kayu jambatannya hampir ranap dimamah tua. Namun begitu, anak-anak masih boleh berkejar-kejaran. Tiada takut dan yang risau cuma kami- yang terlalu lama di darat- dan tidak tahu tentang cita-cita yang sedang dihidupi di atas jambatan-jambatan rapuh ini.

Berulang-alik bersama teman-teman, kami cuba menemukan anak-anak di perkampungan atas air untuk dimasukkan ke dalam Pusat Pembelajaran Alternatif- sebuah projek pendidikan untuk anak-anak tanpa negara- di kawasan pesisir Sabah.

Pagi itu, panjang juga kami berbahas tentang “sekarang” atau “kemudian” atau “tunggu masa sesuai”? Menurut laporan United Nations Children’s Fund (Unicef) pada tahun 2015, lebih separuh daripada anggaran 2.6 juta bukan rakyat Malaysia (non-Malaysians) termasuk pelarian, orang tanpa dokumen, orang tanpa negara dan pekerja migran di Sabah. 451,900 orang daripadanya adalah kanak-kanak dan orang muda di bawah umur 19 tahun. Kita masih mahu bertanya “kemudian” atau “tunggu masa yang sesuai”? aku sengaja berseloroh. Mengepalai projek ini bukanlah satu hal yang mudah melainkan advokasi harus serentak mengemudi hal-hal analitikal dan mapan bersangkut permasalahan sosial di negeri ini.

Setelah berjela-jela memperdebatkan angka, kemudian, perkampungan atas air Kg. Leila antara yang menjadi tempat kami mengintai harapan-harapan yang terpikul di atas bahu kecil anak-anak buruh dan nelayan di situ. Aktiviti ekonomi utama penduduk di situ adalah ke laut mencari rezeki atau ke pusat bandar untuk servis menjahit pakaian atau sepatu koyak. Ada juga yang menjual rokok seludup di celah bangunan lama. Adakala rezeki memihak, juadah bersama keluarga menjadi meriah. Adakala diusir serupa tikus perosak, malam pekat perut masih berikat.

“Mak bapak dan nenek mereka ini adalah generasi pertama dan kedua. Pelarian daripada Selatan Filipina. Ada orang awam dan ada juga bekas tentera kumpulan pembebasan di Mindanao” aku menerangkan. Ini kerana ketika advokasi dibangunkan di perkampungan yang tidak diwartakan, orang mulai meneka-neka identiti komuniti ini. “Mengapa mereka tidak bekerja sebagai ini atau sebagai itu?”

Kira-kira 5 tahun lamanya, selepas semua telah diputuskan dan ketika gerakan sudah mula memijak kumuh di tepi Kg. Leila, dia di hujung jambatan meninjau kami yang berada di perbarisan meniti jambatan kecil sambil beramah dengan orang kampung. Ada sepatu koyak di tepi pintu rumahnya. Lusuh dan pudar warnanya. Seakan-akan sudah lama ditinggal tanpa disarungkan ke kaki. Aku tidak mengingati banyak tentang rumah itu melainkan cat dindingnya berwarna hijau yang sudah terhakis dan, ya, sepatu koyak di tepi pintunya. Mata anak itu jujur dan bebolanya sedang menghimpunkan banyak kisah. Tapi aku belum berani menuju ke situ. “Ingatkan aku nanti, aku nak ke rumah tu. Rumah yang ada sepatu koyak di tepi pintu. Di hujung jambatan Kg. Leila”.

Rumah atas air sudah terlalu lama. Ianya termuat nilai tradisi dan kebudayaan. Orang pesisir- atau Pantai Timur Sabah- sudah mula belayar sejak berkurun lamanya. Mereka merajai samudera dan mengusung adat nenek moyang sesekali bertempur dengan ombak laut demi mencari rezeki serta menyebarluaskan budaya serta semangat komuniti. Ketika manusia belumpun mengenal sempadan atau apa-apa sahaja yang memisah-misahkan rumpun yang sudah lama terbina, orang-orang pesisir ini telah membelah lautan dan masuk ke dasarnya. Anak-anak dibesarkan di sini dan mereka mula berumah di atas air.

Ketika itu, semua orang menjunjung dan melaung Sabah Tanah Airku. Negeri di bawah bayu yang tertumpah darah satria di atas “tanah” dan di atas “air”. Ianya elemen spiritual yang digendong bersama oleh nenek moyang terdahulu. Tanah dan airlah yang membentuk sebuah Sabah. Ianya hak milik semua.

Namun, garismasa politik telah mencantas seluruh tubuh kesatuan yang telah dibangunkan. Propagandanya telah memutus-mutuskan urat persaudaraan “Orang Atas Tanah” dan “Orang Atas Air”. Kepentingan politik yang diidamkan telah menumpahkan darah-darah kekecewaan di atas air yang pernah digunakan berlayar oleh orang-orang lama. Kerakusan berpakat telah mencincang isi-isi toleransi sehingga bertaburan di atas tanah yang pernah dipijak oleh pendekar-pendekar sakti ketika mengusir dan menghapuskan para kolonial.

“Itu rumahnya”. Aku diingatkan semula tentang rumah anak itu. Hampir sebulan kami tidak ke sana. Beberapa orang lagi perlu ditemukan sebelum Pusat Pembelajaran Alternatif atas usaha kolektif indipenden untuk memberi akses pendidikan kepada anak-anak yang keciciran pendidikan dibuka.

Masih belum berani mampir. Anak itu sedar kehadiran kami. Air di bawah jambatan sedikit berkocak dek kerana jambatan yang mula bergoyang. Dia masih tercegat di situ. Sepatu koyak masih belum dialihkan. Bertambah lusuh, mungkin akibat terkena lebatnya hujan. Cuma senyum kecil yang dapat dilontarkan dari hujung jambatan. Dia berlari masuk ke dalam rumah.

“Dia tu anak yatim. Anak itu sekarang tinggal sama Mak Ciknya. Bapanya macam jarang pulang, entah ke mana” kebetulan ada yang menyedari gelagatku mengintai anak kecil itu. Tatkala menyedari anak itu sedang menyumbat kisah sedihnya ke dalam bebola matanya yang sirna, aku melangkah ke luar kampung itu dengan hati gundah. Ada sesuatu menumbuk-numbuk dadaku dengan keras. Ada kebingitan di gegendang telingaku menyerupai suara kilat sambar-menyambar.

“Tanpa negara, tanpa ibu dan tanpa cita-cita. Ini gila” semuanya tidak terluah. Emosiku sedang bertarung dengan realiti. Kira-kira 9 tahun, anak yang bertubuh kecil itu sudah memikul tanggungjawab yang besar. Mungkin dia punya cita-cita namun terpaksa dilontar ke bawah rumah. Dibiarkan hanyut atau jatuh menghempap terumbu karang. Ketika impian mula ditanam di darat, ada pula tubuh kecil yang menanggung perit tidak merasakan lazatnya zaman keanak-anakan. Di tepi pintu, di hujung jambatan dan bersama sepatu koyak itu, aku masih mengintai. Kalau-kalau ada lagi cita-cita dibangunkan di atas air. Walaupun, mereka akan mejadi yang tersial ketika berada di darat akibat kecelakaan-kecelakaan sesetengah orang atas tanah yang tak mengaku saudaranya juga adalah orang atas air.

“Ini polemik sejarah” panjang juga masa kami peruntukkan untuk berbahas. Argumentasi tanding disabung dan dibiarkan bercakar-cakaran di ruang itu. Keputusan untuk membangunkannya adalah keputusan yang berat. Bukan berkira-kira tentang hayatnya, tetapi tantangan yang datang daripada komuniti. “Kenapa kamu buatkan Pendatang Asing tu sekolah?” atau “Hantar saja mereka pulang” adalah provokasi yang disuguh ke muka kami. Hampir semua mula berkecamuk. Hala ini masih belum pasti samaada dituju atau tidak. Ianya di antara kegundahan sosial yang mencanak ketika melihat anak-anak ratusan ribu di negeri ini tidak mengenal aksara dan malapetaka sosial yang bakal muncul daripada komuniti setempat. “Semua ni rasis atau apa namanya tu, etnosentrik” desus mereka ketika kami masih berteleku berminggu untuk memulai sesuatu untuk menampung ketidakberesan di sini.

“Bukan cuma sejarah, ini semua tentang sifat yang merasa terancam. Kalau tak suka sangat dengan orang-orang ini, bunuh saja. Tembak mereka di hujung jambatan, biar laut menjadi merah kemudian kita melaungkan semula merdeka” semua telinga berdesing. Jeda. Rumah atas air antara setinggan yang dibangunkan secara haram menurut negara melainkan selepas diwartakan. Ratusan bahkan sesetengahnya ribuan orang menetap di situ. Manusia-manusia yang tak meminta lebih, walau ruang beradunya hanya sekangkang tanah. Kaki rumah dimamah koloni serangga. Tiada sumber air yang bersih, elektrik di sambung secara haram dan kemudian banyak kes kebakaran merentung rumah atas air. Rumah atas air tempat bertumbuhnya penyakit-penyakit. Tuala wanita yang baru semalam dipakai belum hanyut dek air yang masih surut. Tiada sistem pembersihan. “Padahal ini tradisi. Kalau kita buat betul-betul, boleh jadi tarikan pelancong” kami masih membuka meja diskusi. Ada yang memetik Brunei yang mengangkat tradisi dan budaya rumah atas air di sana.

“Eh, kamu ingat anak kecil yang di hujung jambatan Kg. Leila tu?” debat teralih kepada si Dia yang kuintai bersama sepatu koyak. Kami kembali ke sana. Bertemu dengan orang kampung yang ramah adalah sesuatu yang meredahkan kemarahan. Bagaimana orang-orang masih boleh berbuat baik ketika mereka itu dianggap alien asing yang membangunkan rumah haram di negara ini?

“Sera” tak boleh terlalu lama berdiri di situ, kami risau jambatannya yang sudah terlalu rapuh. Anak itu memberitahu namanya.

“Mau sekolah?” dia melihat mak ciknya. Masih ketakutan, mungkin tak biasa dengan kami. Mak ciknya mengusap kepalanya dan sepatu koyak masih di tepi pintu. Sesekali aku menjeling ke situ. Sera akan menjadi pelajar di Pusat Alternatif. Dia tidak akan membayar apa-apa atau membawa apa-apa. Kami telah memutuskan bahawa ruang itu tidak sekadar tempat bersilat mengenal huruf dan nombor namun ruang yang paling bebas dan merdeka. Tempat mereka ketawa dan berlari-lari sepuasnya. Percuma. Tak perlu takut sesiapapun.

“Kasihan bah dia ni, dik” beliau memulai. “Kasut yang kau nampak di siring pintu tu, kasut bapanya tu. Dua bulan sudah ndak pulang. Hari tu dia ndak kerja, ke bandar dia beli rokok. Mengkali, ditangkap sudah kesian”.

Mataku masih meluruh tajam ke bahu Sera. Kasihan. Anak sepertinya dibantai oleh takdir. Entah betapa celakanya jika ada yang berkata bahawa inilah nasib yang tidak perlu dihitung melainkan diterima dengan tangan tertadah ke langit. Anak ini mungkin, fikirku, sudah penat menangis. Dia nampak tenang namun mungkin sedang ada sesuatu yang menumbuk-numbuk dadanya daripada dalam. Sebuah amarah yang ditahan. Berkocak seperti air di bawah rumahnya.

“Mana adik beradiknya ni, Mak Cik?” beliau menggeleng memberitahu bahawa adik beradik Sera tidak peduli kepadanya. Entah. Mereka juga mungkin sedang berjuang mati-matian setidak-tidaknya mencari tempat yang terpencil untuk berkehidupan.

“Nah, sepupunya ni Dik, bikin kesian juga. Ditangkap mak bapaknya waktu dia bermain-main sama kawannya di bandar. Bertahun sudah tu kesian ndak jumpa mak bapaknya. Ada kan yang di bandar minta-minta duit berkaki ayam kotor itu? beliau menghurai lagi.

“Nah, dia itu”

Aku dan teman-teman tahu anak yang dimaksudkan Mak Cik itu. Berkeliaran di Pusat Bandar Sandakan hampir 5 tahun. Menjadi anak jalanan dan gelandangan. Hidupnya semakin tidak terurus. Comot dan compang campingnya menunjukkan kekusutan jiwanya. Seawal usia 9 tahun hidup bersendirian tanpa ibu dan bapa. Kini, menginjak usia lebih kurang 15 tahun, dia sudah bersama kelompok anak-anak jalanan yang mengemis.

Syahdu. Kita hanya mampu menyaksikan kecelakaan ini berlangsung. Mengisi atmosfera kemanusiaan yang hipokrit di dunia ini. Berapa ramai jiwa yang terbunuh atas alasan muluk-muluk takdir yang dangkal? Ini sangat menyesakkan. Semoga jiwa-jiwa yang mati terkubur dek pembantaian nasib bertubi-tubi akan dibangkitkan dengan semangat dan cita-cita yang tak mampu dicantas atau dicincang-cincang. Semoga anak seperti Sera mampu meniup sangkakala citanya di atas air. Menukar kocakan amarahnya kepada satu semangat untuk terus hidup.



(Artikel ini adalah tulisan saudara Rien SD dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Arkin Cahaya)

4 views0 comments

Comments


bottom of page