top of page
Search

Madanilah, pemerintah! oleh Rien Sd

Ketika kita memetik dan mencuplik naratif sakral terkandung dalam kitab kudus Al Qur’an soal Ashabul Kahfi, jangan pula kita bersikap seperti Ashabul Ukhdud si kuli suruhan yang memagari Abdullah bin Tharim dengan parit dan merendamnya ke dalam api atas keputusan pemerintah bangsat raja Zu’rah. 


Mengapa kita menoreh kalimah Madani pada dada dan dahi- ke hulu ke hilir mengusung nas agama dan filsafat sebagai perkakas pidato- namun ratusan ribu anak-anak di Sabah, Malaysia telah kita timbus dan lebih awal kita tanam ke dalam liang lahad hanya kerana tidak memiliki dokumen untuk mendapatkan hak pendidikan?


Ketika Gaza dibedil dan anak-anak syuhada di sana berpergian pulang ke penciptanya, kita di sini semacam Ashabul Aqlam, sang pembela dan pemberani yang bertubi-tubi melontar batu kerikil ke dahi dan punggung zionis terkutuk dan tercela. Apakah Kerajaan Madani sibuk menyusukan kera di hutan, sedangkan anak di rumah mati kelaparan?


Ketika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengakui bahawa Malaysia bukan negara pihak kepada Perjanjian Status Pelarian 1951 atau Protokol Pelarian 1967 bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam isu kebenaran pengoperasian Iskul Sama DiLaut Omadal, apakah Kerajaan Madani lupa bahawa Malaysia dengan berbesar hatinya meraktifikasi Convention on the Rights of the Child (CRC) pada Februari 1995. Kita telah bersepakat bersama-sama negara-negara pihak dalam Perkara (28) untuk memberikan hak pendidikan kepada kanak-kanak untuk membasmi kejahilan dan buta huruf?


Pusat Pembelajaran Alternatif di Sabah


Sabah merupakan wilayah yang mencatatkan jumlah ketanpanegaraan (tiada warganegara) yang tinggi dalam negara. Lebih 23% daripada populasi rakyat Sabah (menurut statistik banci 2020) iaitu lebih 3 juta adalah bukan warganegara termasuklah komuniti tanpa negara. Isu ini tidak cukup hanya ditanggapi pada satu sisi tanpa mengambil kira keragaman spektrum dan konsekuensinya.


Bagi konteks Iskul Sama DiLaut Omadal, isu ini bertumpu kepada hak pendidikan anak-anak tanpa negara dan tanpa dokumen di Sabah. Anak-anak ini adalah korban kepada krisis perang dan keputusan politik yang sedikitpun tidak memihak kepada mereka. Mereka dihukum dan tersepit dengan prejudis dan stigma tanpa kita meninjau semula latar belakang sejarah, demografi dan faktor penolak/penarik yang meletakkan mereka di situasi demikian. Hal ini kemudian membawa kita ke ranah yang lebih kompleks antaranya membabitkan sosioekonomi dan kedaulatan negara. 


Pusat Pembelajaran Alternatif bukanlah terma baharu yang tumbuh. Ianya lebih awal menjalar berbanding model Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK)- inisiatif baik oleh Kerajaan Madani- untuk anak-anak keciciran pendidikan ini. Namun, rumah yang usang, eloklah kita baiki berbanding membina pondok yang baharu. 


Di Sabah, ratusan Community Learning Centre (CLC) yang diusahakan oleh Konsulat Indonesia dan syarikat-syarikat perladangan untuk ribuan anak-anak Indonesia di ladang-ladang di Sabah. Selain itu, ratusan Alternative Learning Centre (ALC) oleh Humana Child Aid Society Sabah untuk semua anak-anak tanpa mengira warganegara yang juga bertumpu di kawasan perladangan.


Seterusnya, benih-benih pendidikan alternatif ini tumbuh subur dari kering kontangnya keputusan pemerintah yang tidak memihak kepada pendidikan anak-anak ini sejak berdekad lamanya. Maka, dibangunkan Pusat Pembelajaran Alternatif Berasaskan Komuniti bagi menampung keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak tanpa negara dan tanpa dokumen di luar kawasan ladang dan selain daripada anak-anak Indonesia. 


Maka kita telah melihat kerja keras dan hempas pulas oleh pasukan-pasukan organisasi masyarakat sivil seperti Ethania School, Stairway to Hope, Borneo Komrad, Madrasah Al Hikmah, Cahaya Society, Iskul Sama DiLaut Omadal dan banyak lagi yang terjun merisikokan diri terjun ke dalam sfera ini. Ruang pendidikan yang dibangunkan menggunakan poket rakyat yang bersetiakawan dan projek pembangunan komuniti yang membawa kepada pembangunan negeri dan modal insan di wilayah merdeka ini.


Organisasi-organisasi yang komited ini telah bertahun lamanya mempertahankan hak berpendidikan anak-anak tanpa negara di Sabah. Ruang pendidikan mereka tidak sebatas tempat belajar, namun turut menjadi pusat pengumpulan pangkalan data, pemeriksaan kesihatan, analisis sosioekonomi, penerapan budaya dan pendokumentasian lapangan dan banyak lagi yang membawa rahmat dan maslahat kepada sekalian umat tidak mengira warganegara atau bukan. Pengalaman pandemik sudah membuktikan apabila NGO bekerja rapat bersama agensi kerajaan dan dijadikan sumber rujukan untuk menjejak komuniti rentan yang tidak ditemukan pada kertas peta kerajaan untuk diberikan vaksin memandangkan kerentanan mereka berpotensi menjadi punca penularan yang lebih besar dan mengancam semua nyawa tanpa mengira status kewarganegaraan.


Justeru, mengapa kita tidak belajar daripada mereka yang berada di lapangan? Apakah kita saling mencurigai dan mewaspadai? Mengapa kita memukul paku dengan tapak tangan sedangkan kita punya tukul di tangan?


Bertemu membunuh curiga


KPM dan seluruh agensi yang terlibat dalam menilai kebenaran pengoperasian Iskul Sama DiLaut Omadal harus ingat bahawa sebarang keputusan yang diambil adalah membabitkan ratusan ALC, CLC dan Pusat Pembelajaran Alternatif Berasaskan Komuniti di seluruh Sabah. Isu Iskul bukan isu persendirian. Ianya membabitkan satu populasi etnik orang asal yang mendepani perlecehan hak berpendidikan sejak sekian lama. 


Iskul dan ratusan Pusat Pembelajaran Alternatif tidak muncul untuk bertanding sistem dengan sekolah arus perdana. Ianya mustahil. Ini kerana Pusat Pembelajaran Alternatif dibangunkan menggunakan setiap sen yang dikumpul daripada poket rakyat. Berbekalkan semangat dan kesedaran kolektif, para advokator ini memerah idea dan berusaha untuk melawan usaha memopilitikkan isu ketanpanegaraan dan pemomokan yang menjerumuskan kita ke dalam lembah prejudis. 


Tabiat pembunuhan karakter dan perlecehan etnik hanya kerana mereka tidak mendapat hak keistimewaan sama seperti kita dan sentiasa bersikap xenophobic adalah kecelakaan-kecelakaan yang selalu ditanam oleh pemuka politik yang gemar mengangkat kad perkauman untuk mencari bahan dan sokongan politik. 


Kerajaan Madani haruslah membahu bersama Iskul dan ratusan Pusat Pembelajaran Alternatif yang lain di Sabah untuk memadamkan atau meredakan api prejudis yang menjilat dinding keharmonian kaum di negara ini. 


Hak berpendidikan misalnya anak-anak Bajau Laut di Iskul tidak seharusnya ditanggapi sebatas persoalan etnik, keselamatan atau polemik di bawah (dalam kalangan rakyat). Kerajaan Madani seharusnya membuka jendela yang luas agar isu ini ditanggapi dengan pertimbangan-pertimbangan yang madani, manusiawi dan memihak kepada komuniti terpinggir. 


Ratusan ribu anak-anak tidak bersekolah di Sabah dan kita masih mahu menebas dinding Iskul yang telah ditubuhkan sejak 2015 untuk menampung sebahagian kecil daripada keseluruhan populasi keciciran pendidikan yang lebih besar di Pulau Omadal, Semporna?


Madanilah, pemerintah. Selamatkanlah semua manusia yang berteduh pada langit madani yang manusiawi ini. Fatwa dan keputusan yang dihampar di atas meja pemerintah haruslah diadun bersama dengan ramuan yang diambil daripada bawah, daripada rakyat. 


Solidariti Iskul!




(Kredit gambar: The Star)


57 views0 comments

Comments


bottom of page