Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, perkataan "Madani" dapat ditakrifkan sebagai kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Konsep ini dapat diperlihatkan semasa Dato' Sri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1995 mula mengemukakan istilah 'masyarakat madani' ketika menyampaikan pidato sewaktu Simposium Nasional dalam Rangka Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia dan menyebutkanyang kita maksudkan dengan masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur dan prinsip moral dapat menjadi asas untuk menjamin keseimbangan dan kestabilan hidup konservatisme".
Persoalannya, apakah ciri-ciri generasi madani? Sesungguhnya terdapat pelbagai ciri generasi madani.
Pada hemat saya, ciri generasi madani yang pertama ialah masyarakat yang mempunyai sifat keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu. Hal ini penting dalam membentuk generasi madani kerana ia dapat membuka minda masyarakat supaya dapat menambahkan pengalaman sekaligus membuang rasa takut. Sebagai contoh, sekiranya kita menyertai aktiviti sukarelawan, kita bakal memperoleh pengalaman baharu seperti bagaimana cara menghadapi pelbagai karenah masyarakat, membantu menghulurkan bantuan dan sebagainya. Kesannya, kita dapat mengorak langkah membentuk generasi madani serta dapat membuka ruang melawan rasa gementar. Jelaslah bahawa, mempunyai sifat keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu dapat menjadi asbab pembentukan generasi madani.
Sebagaimana yang kita ketahui, masyarakat yang memiliki persepsi mudah menerima sebarang maklum balas juga tergolong kepada pembentukan generasi madani terutamanya golongan muda. Hal ini dikatakan demikian kerana, segala perbuatan yang kita lakukan berasal daripada pemikiran. Oleh itu, kita perlulah reda dan tabah untuk menerima segala arahan dan nasihat dengan hati yang terbuka, lebih-lebih lagi pada saat kita sudah melangkah ke alam pekerjaan. Impaknya, pemikiran yang positif boleh mendatangkan pelbagai manfaat pada diri sendiri dan orang lain seperti dapat mengawal emosi, tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan diri serta mampu melahirkan generasi berfikiran alfa. Jelaslah bahawa, memiliki persepsi yang mudah menerima sebarang maklum balas dapat membentuk generasi madani.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat yang berilmu pengetahuan menjadi pemangkin dalam membentuk generasi madani. Secara logiknya, umur tidak menjadi sekatan untuk kita menuntut ilmu. Ilmu pengetahuan dapat meninggikan darjat serta gaya pemikiran seseorang itu. Kita boleh menuntut ilmu melalui pelbagai jenis bahan bacaan. Sebagai contohnya, buku ilmiah, laman sesawang, pendapat orang terdekat dan semuanya boleh diperoleh hanya dengan menggunakan hujung jari. Impak masyarakat yang berilmu pengetahuan ialah dapat membangunkan negara di persada dunia sekaligus dimuliakan orang ramai. Namun, kita tidak boleh mengukur baju orang di badan sendiri saat kita sudah berilmu pengetahuan. Jelaslah bahawa, berilmu pengetahuan merupakan ciri generasi madani.
Sehubungan dengan itu, sikap bertanggungjawab yang utuh perlu diterapkan dalam diri masing-masing tidak mengira kaum atau pangkat seseorang itu. Hal ini dikatakan demikian kerana, seseorang yang mempunyai sikap bertanggungjawab dapat mengendalikan diri sendiri untuk menghadapi segala cabaran yang menempuh diri.
Sebagai contoh, kita perlulah menjalankan tugasan yang diberi dengan penuh komited dan inventif. Kita juga mesti menjalankan tugasan sehingga selesai tanpa ada sebarang keciciran. Hal ini bertepatan dengan peribahasa melayu yang mengatakan, alang-alang berminyak biar licin. Natijahnya, seseorang yang mempunyai sikap bertanggungjawab dapat menjadi insan yang dipercayai ramai, dihormati serta dihargai oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, ciri generasi madani ialah mempunyai sikap bertanggungjawab.
Konlusinya, semua pihak perlu memainkan peranan serta berganding bahu untuk mewujudkan generasi madani yang menjadi mangkin utama dalam membentuk negara yang maju, cekap dan yogia. Oleh itu, sebagai langkah awal membentuk masyarakat madani ialah ibu bapa boleh mendidik disiplin anak-anak mereka sejak kecil lagi agar tidak menyesal apabila mereka dewasa kelak. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
(Artikel ini adalah tulisan saudari Hazwani Md Nizam dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Arkib Cahaya)
ความคิดเห็น