Jam 11.34 malam, Campaka masih menangis. Aku mengapainya dari buaian kayu itu. Aku mendodoinya lembut dengan menyanyikan lagu “Tidurlah Anakku,” khas buat Campaka. Tanganku perlahan-lahan menepuk belakangnya dengan penuh kasih sayang, sehinggalah bunyi rengekan itu sayup-sayup hilang dari pendengaran. Campaka sudah tertidur. Setelah sekian lama aku berjaga memujuknya untuk tidur, akhirnya Campaka tertidur. Aku tersenyum senang melihat Campaka tertidur. Namun pada masa yang sama, hatiku tidak tentu arah memikirkan punca si suami lambat pulang ke rumah. Aku semakin risau.
Tiba-tiba, aku terdengar bunyi deretan tapak kaki yang sedang berlari menuju ke arah pintu rumah kami.
“Pergi! Bawa Campaka ke tempat yang selamat! Para tentera Jepun datang berniat ingin memusnahkan tempat kita ini! Cepat!” arah suamiku tegas.
Dia juga salah seorang yang bertanggungjawab mempertahankan Tanah Melayu ini dari terus dijajah oleh orang asing.
Bunyi siren amaran kedatangan pihak tentera Jepun dibunyikan, penduduk setempat diberi amaran untuk menyelamatkan diri untuk bersembunyi atau melarikan diri ke tempat yang lebih selamat. Lebih-lebih lagi, gadis yang masih berperawan suci. Kekuasan tentera Jepun amat digeruni oleh rakyat Tanah Melayu disebabkan kezaliman dan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan.
Ramai penduduk yang cuba mencari tempat persembunyian dan ada juga yang berlari lintang-pukang menyelamatkan diri tanpa mengikut arahan. Seorang lelaki melanggar arahan, akibat perasaan panik dia terus berlari meluru ke sempadan. Tanpa dia sedar kawasan itu sudah dipenuhi dengan sekumpulan tentera Jepun yang bersembunyi di dalam hutan sambil mengatur strategi. Satu das tembakan tepat mengenai dada lelaki itu, darah mengalir begitu pantas. Nasib lelaki itu tidak dapat diselamatkan apabila dia terjatuh ke dalam sungai dan mati dengan sia-sia.
Dari arah Utara dan Selatan, tentera Jepun berjaya mengepung mereka dengan mengejut. Riak wajah penduduk yang tidak bersalah menjadi cemas apabila mereka ditangkap dan dikumpulkan di satu tempat. Tentera Jepun dan tentera Melayu berbalas-balas das tembakan. Aku lantas mendukung Campaka dan menuju ke pintu belakang dapur. Campaka masih tertidur lena. Aku sempat menoleh ke belakang melihat suamiku yang digelar Leftenan Adzan mengisi peluru, bersiap sedia menyertai peperangan. Mataku bergenang menahan kepiluan.
Belum sempat aku membuka kunci pintunya, tiba-tiba pintu diketuk bertalu-talu dari arah depan. Aku menekup mulutku dengan sebelah tangan, perasaan takut mula menguasai tubuhku. Leftenan Adzan segera mendapatkan aku, dia berbisik kepadaku, “Ikut di bawah kolong”. Tikar ditarik, lantai kayu tersusun seragam dibuka satu persatu. Suamiku memberi isyarat untuk turun ke kolong. Tanpa membuang masa, aku turun melalui lubang itu dengan senyap-senyap.
Pintu kayu yang diketuk berulang kali namun tidak mempunyai respon menyebabkan tentera Jepun itu mengambil tindakan menendang pintu kayu itu sehingga terbuka. Leftenan Adzan tidak sempat menutup lubang tu kembali, dia menarik tikar yang diperbuat dari daun mengkuang itu untuk menutupi lubang tersebut. Ketika tentera Jepun itu sudah masuk ke dalam rumah, aku mengambil kesempatan untuk melarikan diri ke arah hutan berbukit agar tidak dilihat.
Senapang dipegang erat, Leftenan Adzan cuba bersembunyi di sebalik pintu bilik. Setelah pintu itu terbuka, keadaan kembali hening. Bunyi lantai kayu yang dipijak satu persatu didengari oleh Leftenan Adzan. Dia dapat mengagak jumlah tentera Jepun yang menceroboh rumahnya adalah dalam 8 orang.
Salah seorang tentera Jepun memasuki bilik tersebut. Secara senyap-senyap, Leftenan Adzan mendekatinya dari arah belakang lalu memukul tengkuknya dengan senapang. Aliran saraf dari tengkuk ke otak serta-merta terhenti dan menyebabkan lelaki Jepun itu mati dengan senyap.
Di ruang tamu, Leftenan Adzan terlihat kelibat tentera Jepun yang lain. Dia menggengam senapangnya lalu menembak tanpa perasaan ragu-ragu. Seorang jatuh tersungkur terkena tembakan, rakannya yang lain terus membalas tembakan. Namun, Leftenan Adzan sempat melarikan diri melompat dari tingkap biliknya.
Dari jauh aku melihat suamiku bersembunyi di bawah kolong. Air mata yang mencurah-curah jatuh, aku menyekanya dengan lengan baju kurungku. Pihak tentera Jepun berlari menuruni anak tangga mencari susuk tubuh tegap Leftenan Adzan. Mereka cuba mencarinya di bawah kolong namun dalam keadaan gelap, mereka sukar menemui Leftenan Adzan.
Leftenan Adzan mengambil peluang memulakan langkahnya. Dia sayup-sayup keluar dari persembunyian dan menikam satu persatu tentera Jepun yang ada di bawah kolong itu tanpa mengeluarkan bunyi. Setelah itu, dia menyertai rakan-rakan seperjuangannya menentang tentera Jepun.
Aku melihat peperangan sengit itu dari atas bukit, satu persatu tentera Melayu terbunuh dengan kekejaman tentera Jepun. Hatiku berdoa dan memohon agar suamiku serta rakan seperjuangannya berjaya mengusir tentera Jepun itu hingga ketitisan darah yang terakhir. Aku melihat penduduk yang ditindas, diseksa, dibunuh, diugut dan diperkosa. Sungguh zalim perbuatan askar Jepun.
Namun nasib tidak menyebelahi mereka, tentera Jepun semakin ramai diikuti dengan senjata-senjata mereka yang lain seperti bom. Kubu tentera Melayu dibom, begitu juga dengan rumah-rumah penduduk di situ. Tentera Melayu semakin lemah, mereka sudah nyawa-nyawa ikan. Leftenan Adzan terkena tembakan di bahagian pinggangnya. Dia mengoyakkan kain bajunya untuk menutupi luka.
Dan akhirnya, tentera Melayu yang masih tersisa hanyalah Leftenan Adzan. Tubuhnya bermandikan darah dengan pinggang yang berbalut, perit sakitnya hanya dia sahaja yang tahu. Dia sudah tidak berdaya, darah yang semakin banyak keluar dari luka yang dibalut menyebabkan tubuhnya semakin lemah. Leftenan Adzan terduduk.
Melihat sekujur tubuh yang lemah itu, lelaki itu memberi isyarat kepada para pegawai tenteranya untuk membawanya hidup-hidup. Tanpa berdalih, mereka tunduk dan akur. Dalam keadaan lemah, Leftenan Adzan dibawa oleh dua orang tentera Jepun untuk menghadap Jeneral Taroyuki Akatshita. Dua orang tentera Jepun itu melepaskan Leftenan Adzan, menyebabkan dia terduduk di atas tanah.
“Inilah orangnya Leftenan Melayu yang kamu katakan itu?” tanya Jeneral Taro terhadap pegawai Mejar Masahiro. Mejar itu hanya mengangguk dalam keadaan tertunduk sebagai simbol hormati orang yang berpangkat lebih tinggi.
Jeneral Taro tersenyum senang, dia bangga dengan pencapaian para pegawai tenteranya.
“Dia kelihatan muda. Namun badannya tegap menunjukkan dia sangat kuat dan berani,” puji Jeneral Taro. Dia menghampiri Leftenan Adzan sambil membungkukkan badannya. Jeneral Taro menyentuh dagu Leftenan Adzan untuk melihat wajahnya.
Ketika wajahnya diangkat, Leftenan Adzan terus meludah tepat ke wajah Jeneral Taro. Kesemua tentera Jepun yang ada di situ terkejut dengan tindakan berani lelaki berdarah Melayu itu. Lalu, mereka menghunus pedang pendek tajam di hujung senapang itu ke arahnya.
“Kamu semua zalim dan jijik berwajahkan binatang! Kamu semua tidak layak dipanggil manusia. Aku tidak takut dengan tentera Jepun!” jerit Leftenan Adzan dengan penuh yakin. Dia mengenggam kedua-dua belah tangannya dengan amarah menggunung.
Jeneral Taro ketawa kecil sambil mengelap wajahnya dengan sapu tangan yang diberi oleh Mejar Masahiro. Mejar Masahiro memberi isyarat kepada para tentera Jepun untuk meletakkan senjata.
“Saya kagum dengan keberanian awak, Leftenan Adzan. Umur masih muda, tapi sayang..” Jeneral Taro tidak menyambung kata-katanya. Dia mengambil senjata milik Mejar Masahiro. Kakinya bergerak perlahan menuju ke arah Leftenan Adzan sambil membelek senapang Boyenet itu di tangannya. Setelah sampai di depan Leftenan Adzan, Jeneral Taro mengeluarkan pedang pendek di hujung senapang itu.
“Kamu akan mati hari ini!!” Jeneral Taro terus menusuk perut Leftenan Adzan berkali-kali. Leftenan Adzan jatuh terbaring sambil kepalanya menghala ke arah bukit hutan, tempat persembunyianku. Dia tersenyum seperti tahu aku masih berada di situ, lalu matanya perlahan-lahan terpejam rapat sambil menghembus nafasnya yang terakhir.
“Mereka ini semua kita mahu buat apa?” tanya Mejar Masahiro kepada Jeneral Taro. Jeneral Taro melihat orang-orang Melayu yang masih hidup. Kesemua mereka merayu sambil menangis untuk meminta belas kasihan agar mereka semua dilepaskan.
“Hmph, seperti anjing. Bunuh mereka semua! Yang perempuan, suka hati kamu mahu berbuat apa,” arah Jeneral Taro sambil menaiki jip untuk balik ke markas semula. Bala tentera Jepun bersorak kegembiraan mendengar arahan tersebut. Mereka telah diberi kesempatan untuk berbuat apa sahaja.
Aku meraung sekuat hati, tangisanku semakin deras. Campaka yang sudah terbangun dan menangis ketakutan, tidakku pedulikan. Aku melihat suamiku dibunuh dengan mataku sendiri. Sekumpulan tentera Jepun yang meronda di hutan itu terdengar raunganku dan tangisan Campaka. Seseorang remaja perempuan menarik tanganku untuk lari dari tempat itu. Sehinggalah kami sampai di sebuah rumah kayu kecil di tengah hutan. Wajahku pucat, penglihatanku semakin gelap, badanku juga semakin tidak bermaya. Tanpa berkata-kata, aku menyerahkan Campaka kepada remaja itu lalu jatuh pengsan.
Wajahku disilaui cahaya matahari yang sudah naik ke langit. Aku membuka mata perlahan. Pandanganku menghala ke atas atap daun nipah. Tiba tiba aku teringat sesuatu. “Campaka!”
Aku bingkas bangun dan mencari Campaka. Remaja perempuan itu datang dari arah dapur sambil mendukung Campaka yang tertidur. “Kak sudah bangun? Saya Siti dan saya minta maaf. Sebab jaga anak kakak semalaman,” jawab remaja perempuan itu dengan sopan. Dia menghulur Campaka kepadaku. Aku melihatnya tertidur lena sambil tersenyum. Tanpa sedar, air mataku tertitis mengenai pipi Campaka. Aku menyeka air mataku dengan lengan baju.
Siti bersimpati melihat keadaanku. Aku menceritakan semua kejadian yang berlaku semalam. Siti mendengus geram.
“Ceh, tentera Jepun memang zalim!” Siti pula menceritakan kisah silamnya, dimana ibu bapanya telah dibunuh semasa umurnya 8 tahun oleh tentera Jepun. Siti dibawa lari oleh seorang nenek dan dijaga di rumah ini. Semasa umur Siti genap 17 tahun, nenek itu sudah uzur dan meninggal kerana sakit tua. Sejak itu, Siti tinggal seorang diri dan berdikari sendiri. Aku juga turut bersimpati dengan nasibnya.
“Nama kakak siapa? Kakak tinggal di sini sahajalah dulu,” ujar Siti tersenyum.
“Nama kakak Mawar. Terima kasih,” jawabku sambil membalas senyumannya. Hari demi hari, hubunganku dengan Siti semakin akrab. Dia menganggapku seperti kakak, manakala aku pula menganggapnya seperti adikku sendiri. Tiba-tiba, Campaka jatuh sakit. Demamnya semakin panas, aku semakin risau.
“Kak, biar Siti cuba cari ubat untuk sembuhkan Campaka di hutan itu. Siti pergi dulu,” kata Siti.
“Hati-hati Siti. Jangan lewat sangat balik, di luar bahaya” pesanku tidak sedap hati. Aku hanya melihat Siti dari jauh dan akhirnya hilang dari pandangan.
Semasa mencari ubat, Siti terlihat bunga raya hidup di dalam hutan. Siti sedikit terkejut, dia memetik bunga raya itu. Hatinya sedikit lega, kerana bunga raya dapat merawat penyakit demam.
Ketika balik dari membuat rondaan, salah seorang tentera Jepun ternampak Siti memetik bunga raya. Dia memanggil dua orang rakannya. Tanpa Siti sedar, dia dikerumuni oleh 3 orang tentera Jepun. Bala tentera Jepun itu tersengih-sengih melihatnya. Siti semakin cemas, dia takut. Tangan-tangan tentera Jepun tu semakin liar merabanya.
Siti menepis tangan mereka dan menolak seorang badan tentera Jepun itu dengan sekuat tenaganya. Siti terus berlari menyelamatkan diri pulang ke rumahnya semula. Tentera-tentera Jepun itu mengejarnya dari belakang.
“Kakak Mawar, tolong!” jerit Siti dari luar. Aku terus keluar menemuinya. Dalam keadaan tercungap-cungap, Siti terus mengunci pintu rumahnya begitu juga dengan tingkap. Dia semakin takut.
“Siti kenapa ini? Apa yang berlaku!?” tanyaku semakin risau. Pintu rumah terbuka akibat ditendang tentera Jepun, aku segera mengambil pisau dari dapur. Siti bersembunyi dari belakangku, tangannya menggeletar memegang baju kurungku. Nafasku turun naik, menahan amarah. Aku melihat Campaka di sebelah katil, dia masih tertidur. “Ambil Campaka..” bisikku. Siti mengambil Campaka dan mendukungnya dengan erat. Sekeliling rumah aku perhati, tiada jalan keluar untuk melarikan diri.
“Pergilah dari sini, binatang!” pekikku marah. Pisau yang ada di tanganku, aku mengenggamnya kuat.
Ketiga-tiga tentera Jepun itu melihat sesama sendiri, kemudian mereka tergelak seketika melihatku.
“Katsukie, kau urus perempuan garang itu. Aku mahu perempuan yang ada di belakangnya,” kata rakan tenteranya. Mereka bertiga ketawa besar di dalam rumah itu.
Lelaki Jepun itu semakin mendekatiku, senapangnya diturunkan sambil mengangkat tangannya. Sengaja mengejekku.
“Cik, bawa bertenang. Mari kita berbincang..” Lelaki Jepun itu cuba menyentuh tubuhku, namun serta merta aku menusuknya dengan pisau itu. Lelaki Jepun itu semakin naik angin, dia terus menamparku sehingga tubuh kurusku terjatuh di atas lantai. Kepalaku terhentak di hujung bucu. Darah mengalir keluar dari luka kepalaku.
Lelaki Jepun yang sudah aku tusuk itu, serta-merta mati akibat pendarahan banyak. Kedua wajah rakannya semakin bengis apabila melihat rakan mereka mati dibunuh.
“Kakak Mawar..!!” Siti memegangku, dia cuba menyedarkan aku. Namun, penglihatanku semakin kabur lalu mataku tertutup rapat. Aku hanya mendengar, pekikan suara Siti melawan tentera-tentera Jepun itu dan tangisan Campaka yang sudah terbangun. Kemudian suara itu sayup-sayup menghilang.
Bunyi burung bersiul di awal pagi menyedarkanku. Kepalaku masih terasa sakitnya, aku cuba bangun perlahan-lahan. Di depanku, terlihat sekujur tubuh tidak berpakaian sedang terbaring tidak sedarkan diri.
“Siti..!!” jeritku. Aku terus mendekati tubuh yang sudah tidak bernyawa itu. Aku melihat kesan lebam di leher Siti akibat dicekik. Aku mengusap rambutnya sambil aku menangis melihat keadaannya, aku mencapai sarungnya dan menutupi tubuhnya itu. Sungguh hina perbuatan tentera Jepun yang sesuka hati menodai kehormatan wanita. Kemudian aku teringat Campaka, aku mencari Campaka. Di belakang pintu, aku ternampak tubuh Campaka terbaring di atas lantai. Tangan aku menggigil, aku menyentuh lembut jari-jarinya. Tangan Campaka sejuk, wajahnya juga pucat dan denyutan nadinya juga sudah tiada.
“Campaka..!!” raungku. Aku menangis teresak-esak, kini tinggal aku seorang sahaja yang masih hidup. Aku memeluknya dengan erat. “Maafkan ibu, Campaka.. Maafkan ibu..” Aku meraung menangis sekuat kuatnya, sehinggalah seorang lelaki tua dan anak lelakinya terdengar raunganku.
Lelaki tua itu yang juga memegang jawatan sebagai ketua kampung bersama anak lelakinya baru sahaja balik dari memburu. Mereka mengekori arah bunyi itu sehinggalah mereka menemui rumah Siti. Lalu, mereka melihat sekeliling keadaan rumah itu, lebih-lebih lagi mayat yang ditutupi dengan sarung itu. Hati ketua kampung itu dapat menganggak punca kejadian ini berlaku. Lalunya, pandangannya teralih melihatku. Ketua kampung itu berpesan kepada anak lelakinya untuk meminta bantuan dari kampung sebelah. Ketua kampung itu cuba memujukku untuk bertenang.
Setelah Siti dan Campaka selamat dikuburkan dengan bantuan penduduk kampung, aku disarankan untuk tinggal di kampung itu. Ketua kampung itu menyuruhku untuk tinggal bersamanya. Isteri dan anak lelakinya menyambut baik kedatanganku dalam keluarga mereka.
Ketua kampung itu menceritakan detik-detik kampung mereka sudah dijajah oleh tentera Jepun. Dia membawaku melihat keadaan kampung itu dikawal ketat oleh pegawai tentera Jepun. Sungguh terseksa penduduk kampung itu semasa dikuasai oleh pihak tentera. Bekalan makanan semakin berkurangan, malah penghantaran bekalan makanan juga disekat oleh tentera Jepun. Hal ini mengakitkan penduduk kampung terpaksa bercucuk tanam untuk meneruskan kehidupan.
Hari demi hari, aku semakin biasa di kampung itu. Malahan, aku melihat penduduk ditindas dan dibunuh setiap hari oleh tentera Jepun. Hatiku semakin tidak berpuas hati. Teringat detik-detik suamiku, anakku dan Siti mati dibunuh. Dendamku semakin membuak-buak, aku sudah tidak tahan. Aku akan membalas dendam bagi pihak mereka. Perjuangan suamiku harus aku teruskan demi membebaskan Tanah Melayu ini dari terus dijajah oleh kuasa asing.
Sesampainya di rumah, aku memberi cadangan untuk membuat markas perjuangan orang Melayu secara senyap-senyap dari pengetahuan tentera Jepun. Ali, anak kepada ketua kampung mendengar cadanganku. Dia berkata, dia menemui sebuah gua di belakang air terjun arah Timur. Gua itu ditutupi dengan pokok-pokok besar dan air terjun menyebabkan gua itu agak sukar untuk ditemui. Ketua kampung berfikir sejenak dan mengangguk setuju. Aku menemani Ali berkunjung satu persatu rumah jiran untuk mengkhabarkan keberadaan markas yang akan dibuat sekaligus dengan tujuannya. Di dalam gua, kami menunggu kedatangan orang Melayu yang mahu bergadai nyawa menentang tentera Jepun demi tanah air yang tercinta. Sejam berlalu, tiba-tiba datang seorang lelaki melayu. Kemudian datang pula, sepasang suami isteri Melayu dan akhirnya semakin ramai yang datang. Aku dan Ali berasa gembira, cadangan kami berdua disokong oleh penduduk kampung.
30 hari sudah berlalu, segala maklumat tentang strategi tentera Jepun sudah aku kumpulkan walaupun aku terpaksa berkorban menyerahkan kehormatan tubuhku kepada tentera Jepun untuk mengumpul sebarang maklumat dari masa ke semasa. Dengan bantuan Ali, dia bersama rakan sekutunya dapat membawa masuk senjata-senjata seperti dari pihak luar walaupun berisiko. Aku berbangga dengan keberanian diri Ali. Markas itu hanya dijalankan pada waktu malam bermula jam 8, agar tentera Jepun tidak mencurigai sebarang kegiatan yang kami lakukan.
“Sebulan sudah berlalu, maklumat strategi tentera Jepun sudah kita tahu, sepanduk memberontak sudah dibuat, senjata juga sudah ada. Apa kita tunggu lagi Mawar, mari kita lawan!” kata seorang pemuda bersemangat untuk menentang pihak tentera Jepun. Diikuti dengan sorakan penduduk kampung, mereka menyetujui cadangan pemuda itu.
Aku berfikir sejenak, aku melihat wanita-wanita melayu itu bersorak.
Lalu aku bertanya, “Para wanita, setujukah kamu jika kita juga ikut serta menyertai kaum lelaki untuk pergi berperang?”
“Kami bersetuju!” jawap salah seorang wanita.
“Ya! Kita akan tegakkan maruah kita! Senang-senang sahaja tentera Jepun itu mencabul kehormatan kita!”
“Wanita mempunyai maruah! Kita mempunyai hak untuk melawan!” “Bukan lelaki sahaja boleh berperang, wanita juga boleh!”
“Kami yang berstatus isteri, akan berjuang bersama-sama dengan si suami!”
Bergema suara-suara protes itu di seluruh kawasan gua. Wanita-wanita Melayu itu semakin bersemangat, mereka bersorak untuk bersetuju melibatkan diri dalam berperang.
“Pertama sekali, kita kena belajar seni pertahanan diri..” belum sempat aku menyambung kata-kataku. Ali terus memotongnya.
“Aku dan rakan-rakanku akan mengajar seni silat. Lelaki juga boleh menyertainya. Mulai esok, kita akan mula belajar seni silat!” jerit Ali bersungguh-sungguh. Seluruh orang Melayu yang ada di dalam gua itu bersorak. Aku mengangguk setuju, aku semakin dapat merasakan kekuatan aura patriotik.
Tanpa Mawar sedar, Ali mencuri melihatnya sambil dia tersenyum. 3 minggu kemudian, semua orang Melayu sudah bersiap sedia mengikut strategi yang diatur olehku semalam. Mereka terbahagi kepada 2 kumpulan, kumpulan pertama iaitu kumpulan wanita akan menjalankan pemberontakan dengan membawa sepanduk sehinggalah tentera Jepun datang. Lalu, kumpulan 2 iaitu lelaki pula akan bersembunyi untuk menunggu isyarat dariku untuk menyerang hendap. Aku mewakili kumpulan wanita, manakala Ali pula mewakili kumpulan lelaki.
Seperti yang dirancang, aku membawa para wanita Melayu untuk memberontak di jalan sehinggalah beberapa jip tentera Jepun berhenti di tengah jalan.
“Apa yang kamu mahukan!?” tanya Mejar Masahiro yang pandai berbahasa Melayu. Wajah bengisnya ditayangkan.
“Kami mahu tuntut hak kami sebagai wanita! Kami mempunyai maruah! Oleh itu, para wanita yang tinggal di Tanah Melayu ini memohon agar kehormatan kami tidak boleh dicabul sesuka hati oleh mana-mana pihak!” bidasku diikuti dengan sorakan wanita yang lain.
“Saya tidak peduli! Jangan halang jalan kami atau kamu semua akan dibunuh!” balas Mejar Masahiro dengan garang.
“Kami orang Melayu tidak takut! Kami mahu tuntut hak kami sebagai wanita. Bebaskan wanita Melayu!” jeritku lantang. Wanita Melayu yang lain juga tidak mahu ketinggalan, mereka juga menjerit mengulang perkataanku.
“Kamu semua berani cari mati! Tentera, pancung kepala wanita itu semua!” arah Mejar Masahiro. Para tentera Jepun tanpa akur dengan arahan Mejar mereka.
Bala tentera Jepun berjalan menuju ke arah mereka. Aku memberi isyarat kepada Ali. Ali bersama kumpulannya terus keluar menyerang hendap tentera Jepun itu. Ali memberiku senapang, begitu juga dengan lelaki yang lain. Mereka memberikan senjata kepada para wanita.
Mejar Masahiro sedikit terkejut dengan serangan hendap yang diatur oleh orang Melayu. Mejar Masahiro memberi arahan salah seorang tenteranya untuk berpatah balik ke markas untuk meminta bantuan. Tentera itu akur, dia terus memandu jip itu berpatah balik menuju ke markas mereka. Mejar Masahiro turut serta berlawan dalam peperangan itu.
Beberapa jip tentera Jepun datang diikuti dari belakang dengan jip Jeneral Taro. Mejar Masahiro melihat jip tersebut lalu berlari ke arah Jeneral Taro. “Siapa perempuan itu?” tanya Jeneral Taro dengan wajah serius. “Saya tidak tahu, tuan. Tapi, hasil khabar angin penduduk kampung dialah ketua mengatur serangan hendap ini,” jawab Mejar Masahiro. “Bawa dia ke sini!” arah Jeneral Taro.
Aku melihat Jeneral Taro, perasaan marahnya semakin membuak. Cucuk sanggul di rambutku, aku mengambilnya dan mengenggamnya dengan erat. Rambut Mawar panjang mengurai berterbangan ditiup angin mencuri perhatian orang ramai, terutamanya Ali. Ali sedikit terkesima melihat keanggunan Mawar, namun dia cepat tersedar apabila dia ternampak Mawar menuju arah Jeneral Taro.
“Mawar!” jerit Ali. Dia mahu mengikuti Mawar namun terhalang apabila tentera Jepun ramai yang melawan.
Jeneral Taro kagum dengan sikap berani Mawar yang datang kepadanya seorang diri. Dua orang tentera Jepun cuba memegang kedua-dua tangan Mawar dan Mawar sempat menyembunyikan cucuk sanggul ke dalam poket baju kurungnya.
“Namaku Mawar. Orang Melayu semakin terseksa sejak kamu menjadi pemerintah. Kamu juga sudah membunuh suamiku!” bidasku kasar sambil menepis kedua-dua tangan tentera Jepun itu dari terus memegang erat diriku.
“Lepaskan dia, Mejar tolong terjemahkan kata-katanya,” kata Jeneral Taro sambil mengusap misainya. Mejar Masahiro menterjemah kata-kata Mawar tadi.
Riak wajah Jeneral Taro sedikit terkejut dan bertanya, “Siapa nama suaminya?” Seperti biasa Mejar Masahiro akan menterjemahkan perbualan bagi kedua-dua pihak.
“Leftenan Adzan..!” jawabku pantas sambil nafasku turun naik menahan amarah.
“Oh lelaki itu suami kamu? Patutlah isterinya cantik. Saya mahu kamu perintahkan orang-orang Melayu ini untuk mundur jika tidak..” Kata-kata Jeneral Taro terhenti. Dia menghampiri dan melihat tubuh Mawar dari bawah ke atas.
“..jika tidak, tubuhmu akan saya gadai..” Jeneral Taro ketawa besar. Mawar terus meludah wajahnya.
“Kami orang Melayu tidak akan sesekali mundur untuk mempertahankan tanah air kami!” jawabku sambil mengeluarkan cucuk sanggul dari poket perlahan-lahan.
“Kau sama sahaja seperti suamimu!” Jeneral Taro mencekik leher Mawar. Dengan tenaga yang ada, Mawar terus menusuk tangan Jeneral Taro menyebabkan Jeneral Taro melepaskan Mawar. Tanpa membuang masa, Mawar menusuk lagi tepat ke jantung Jeneral Taro sebelum dirinya ditembak oleh tentera Jepun.
Denyutan nadi Jeneral Taro sudah tiada, Mejar Masahiro memberi perintah kepada tenteranya untuk mundur akibat kematian Jeneral mereka. Kesemua tentera Jepun mundur sambil membawa mayat Jeneral Taro.
Orang-orang Melayu bersorak kegembiraan atas kemenangan mereka berjaya mengusir tentera Jepun itu di Tanah Melayu. Namun pada masa yang sama, keadaan kembali hening apabila Ali meletakkan kepala Mawar di pahanya sambil mengusap rambutnya. Air mata lelaki sejatinya jatuh apabila wanita yang dia cintai secara diam-diam telah pergi buat selamanya. Orang orang Melayu berasa sedih dengan pemergian Mawar. Mereka tidak akan pernah lupa jasa dan pengorbanan besarnya terhadap Tanah Melayu yang dicintai.
--
(Cerpen ini adalah karya saudari Faydelia binti Felix dan tidak semestinya mencerminkan pandangan mana-mana pihak Arkib Cahaya)
Komentar