top of page
Search

Candra Tak Tergapai

Ingin menggapai candra terang,

Ingin melakar haruman kasturi,

Menahan sukma menatap duniawi,

Neraca serong membunuh segenap mimpi,

Lakaran bahari diranap kejamnya realiti.


Terkadang,

Ruang kecil minda ini tertanya-tanya,

Jika hari ini mereka di tangga teratas,

Asbab kunci yang digenggam,

Kenapa aku tidak diberi kunci itu?

Jika hari ini mereka mencalit dakwat di kertas,

Asbab peluang yang dicengkam,

Kenapa aku tidak diberi peluang itu?


Sungguhpun aku melangkah jauh,

Wangsa asal seluas bentangan bumantara,

Jatuh dipijak, dicerca,

Pandangan hina, sinis menikam atma,

Jejak ini juga berpijak di buana yang sama,

Namun,

Jalannya masih ditaburi pasir dusta.

Langkah tersekat, keinginan terhambat,

Walau coretan seindah bianglala,

Walau ukiran masih terpahat,

Jika kunci masih disembunyi,

Manakan peti dapat dibuka,

Manakan kejayaan akan terbukti.


Asn, 20,

Sandakan, Sabah.

Mantan guru sukarelawan,

Pusat Alternatif Cita Budi.

0 views0 comments
bottom of page