top of page
Search

Asin Keringat


kredit gambar: Altermidya


Amin termenung di jeti usang yang dibina oleh ayahnya sambil melibas-libas tuala kecil menghalau agas dan nyamuk yang menghurung mendekatinya. Dia mengenangkan nasib dan masa depan, memandangkan Pak Budin semakin dimamah usia. Mak Senah juga meletakkan harapan yang tinggi pada Amin untuk menyambung legasi keropok ikannya selepas ketiadaannya. Harapan Mak Senah masih segar di akal benak Amin.


“Mak nak tengok aku sambung legasi perusahaan keropok ikan ini.”

“Amin! Cepat, air dah nak timpas ni.” Tegas Pak Budin. Amin tersentak dari lamunannya dan bergegas ke arah ayahnya.


***


“Bismillah…” suara hati Pak Budin dengan rendah hati mengharap rezeki daripada Ilahi. Mereka dua beranak memulakan perjalanan pada saat raja siang belum menampakkan dirinya. Pak Budin dan anaknya menyelusuri anak sungai yang dikelilingi pokok nipah dan api-api. Sunyi dan sepi keadaan di sana, bunyi serangga kecil dan unggas yang menemani mereka. Pak Budin yang kegusaran memikirkan hasil tangkapannya hari ini adakah cukup untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya.


Muara sungai mula kelihatan, kelip-kelip yang menghinggap di setiap dedaun pokok bakau membuatkan muara sungai terang menderang. Sayu kedengaran jauh azan subuh berkumandang dari surau kampung nelayan.


Pak Budin menyuruh anaknya mencampakkan sauh ke dalam air untuk berlabuh seketika. Dengan badan Amin yang kurus, beban sauh tersebut hampir menjatuhkan dia ke dalam air. Amin yang baru pertama kali merasai pengalaman solat di laut membuatkannya kagum apabila bayu laut menampar mukanya lalu membuatkannya terketar-ketar ketika solat. Amin tidak menyangka begitu sejuk bayu di laut.


Mereka berdua bingkas menunaikan solat subuh dengan ditemani bayu laut dan kicauan burung-burung camar yang berterbangan keluar dari sarangnya.


***


Mentari pagi mula menampakkan sinarnya di ufuk timur, burung-burung camar berterbangan riang di atas biduk yang dinaiki oleh Pak Budin dan Amin. Pak Budin membawa biduk menyusuri air masin yang sangat tenang bagaikan tasik. Biasan dari sinar mentari menghiasi hari yang indah membuat ikan seakan teruja melompat keluar dari permukaan air.

"Amin! kita dah nak sampai ni." Jerit Pak Budin.

Setibanya mereka di lokasi menjaring... Bushhh!


Sauh yang dicampakkan ke dalam laut membuatkan Pak Budin tidak sabar untuk melabuhkan jaringnya. Setelah selesai berlabuh, mata Amin memandang ke sisi kirinya tertumpu pada daratan yang jauh. Mungkin kematian yang menyebabkan hati Amin bertambah gusar melihat daratan yang begitu jauh dari tempat mereka berdua berlabuh. Benak fikiran Amin selalu memikirkan peristiwa hitam arwah datuknya meninggal dunia di lautan kerana biduknya pecah dihempas ombak lalu karam di tengah lautan.


***


Ketika Amin selesai menurunkan jaring, dia mulai merungut kerana belum ada seekor ikan pun yang terlekat di jaring. Apabila mentari mulai tegak tepat di kepala, Amin mulai mengeluh kepanasan kerana cuaca pada hari itu begitu terik.


“Kau ni tak habis-habis nak merungut, rezeki tu kan tidak datang bergolek. Hidup sebagai seorang nelayan bukanlah mudah, pekerjaan nelayan kadang-kadang bergadai nyawa demi mencari sesuap nasi. Terkadang cuaca sangat cantik tetapi hasil tangkapan pula yang kurang tetapi tanamlah di akal pemikiran bahawa hari tidak selalu cerah.” Tegas Pak Budin, Amin terdiam penuh pengertian.


Selepas beberapa jam menunggu jaring yang diturunkan tadi, muka mereka berdua pun sudah bergaram. Pak Budin dan Amin membuat keputusan untuk mengangkat jaring tersebut. Setelah selesai mengangkat jaring, walaupun dengan hasil yang kurang memberangsangkan Pak Budin sentiasa bersyukur dengan pemberian-Nya. Mereka berdua pulang ke jeti dengan hati yang reda dan bersyukur atas rezeki yang diberi.


***


Pak Budin dan Amin menolong Mak Senah yang sedang memproses ikan yang dijaring pada pagi tadi untuk dijadikan keropok. Sambil mereka menyiang ikan,

“Kau dah besar nanti nak jadi apa Amin?” soal ayahnya.


“Amin bercadang ingin menjadi nelayan seperti ayah yang tidak kenal erti putus asa, Amin juga ingin menyambung perusahaan keropok ikan mak. Amin kena serap ilmu secukupnya daripada mak, bukan senang juga nak buat keropok ikan.” Jawab Amin sambil senyuman di wajahnya terukir.


“Eloklah kalau macam tu” sampuk Mak Senah.


“Seperkara lagi ayah mahu pesan, ingatlah kata pepatah orang dulu, patah sayap, bertongkat paruh. Walau bagaimanapun Allah menguji kita, bersabar dan reda, kerana setiap ujiannya pasti akan disusuli dengan kebahagiaan di hujungnya. Janganlah manjakan diri dengan berputus asa,” pesan Pak Budin kepada anaknya.


“Baik ayah.” Jawab Amin.

“Esok abang dengan Amin pergi menjaring di laut lagi?” tanya Mak Senah.


“Ya mak, esok ramalan cuaca elok” sampuk Amin. Pak Budin yang sedang menghisap sepuntung rokok daun begitu leka menjahit jaring yang koyak.

“Bukan selalu abang dengan Amin dapat pergi menjaring waktu cuaca cantik. Harapnya dapatlah ikan banyak esok…” kata Pak Budin sambil menjentik abu rokok ke dalam kole.


***


Pada keesokan paginya, Pak Budin dan Amin bersiap-siap untuk pergi menjaring di laut. Pagi mereka berdua disambut dengan kokokan ayam jantan.


“Alhamdulillah, cantiknya cuaca,” kata Amin dengan hati yang berbunga riang.


“Tidak payahlah pergi ke laut harini.” Mak Senah seperti keberatan untuk membiarkan mereka pergi ke laut. Apalah kecamuk yang berlegarlegar di hati Mak Senah sehinggakan melarang suami dan anaknya itu untuk mencari rezeki di laut.


“Mak… Adik dengan ayah pergi sebentar saja, nanti adik bawak balik ikan banyak-banyak ye. Boleh mak buat keropok ikan.” Kata Amin sambil mengucup tangan ibunya sebelum keluar dari rumah.


Semasa Amin dan Pak Budin ingin meninggalkan rumah, Mak Senah memegang tangan suaminya itu dan merayu supaya tidak turun ke laut, Pak Budin cuba untuk memujuk isterinya sambil mengusap pipi Mak Senah.


“Nanti abang balik kita keluar makan angin sama-sama ya, Senah…” pujuk Pak Budin.

Setibanya mereka di jeti, Amin kelihatan nelayan lain sudah menghidupkan enjin bot dan memecut laju menuju ke laut sebelum air mulai timpas. Pak Budin dan anaknya bergegas untuk pergi ke laut. Perjalanan ke tempat menjaring memakan masa setengah jam. Setibanya di sana, mereka berdua terus menurunkan jaring. Walaupun cuaca sangat cerah tetapi gelombang di laut agak kuat berbanding hari semalam.


Ketika Pak Budin dan Amin menunggu ikan tersangkut pada jaring, mereka berdua menjamah makanan yang dibuat oleh Mak Senah. Makanan yang disuap sering kali jatuh kerana alun yang besar mengumbangambingkan biduk yang dinaiki oleh mereka. Dari mentari mulai naik kini tanpa mereka sedar mentari mulai tegak di atas kepala, begitu lama mereka dua beranak menunggu ikan melekat pada jaring.


Ketika Amin mengangkat jaring, hatinya sentiasa memohon agar diberikannya rezeki untuk dibawa pulang. Semangat Amin mencari rezeki di laut tidak pernah hilang seperti ombak di lautan. Ketika Amin mengangkat jaring, dia merasakan jaringnya seperti tersangkut.


“Allahuakbar ayah, kenapa berat sangat jaring ni.” Kata Amin.


Pak Budin kehairanan kenapa jaring begitu berat pada hari ini, selama ini Amin boleh mengangkat jaring berseorangan. Pak Budin meninggalkan enjin biduknya lalu terus ke luan biduk.


Gelak tawa mereka berdua membuatkan suasana menjadi kecoh sebentar apabila jaring yang diturunkan tadi penuh tersekat ikan pelbagai jenis saiz. Pak Budin dan Amin terkejut, wajah kepenatan mereka dua beranak yang sudah setengah hari berada di lautan hilang apabila melihat jaring yang berat itu kerana disebabkan ikan yang terlampau banyak tersekat di jaring.

“Alhamdulillah syukur ya Allah” kata Pak Budin sambil tersenyum gembira melihat hasil tangkapannya pada hari ini.

“Tak sabarnya nak tunjuk ikan ini dekat mak, seronoklah mak dapat buat keropok ikan banyak-banyak harini kan ayah.” Kata Amin

“Penat lah mak kau Amin kena siang ikan nanti,” ketawa dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke jeti.


***


Pak Budin dan anaknya tiba di anak sungai ketika hari mulai senja. Setibanya mereka di jeti, Pak Budin dan Amin terlihat kepulan asap hitam yang memenuhi langit.


“Asap apa tu, yah?”


“Orang bakar sampah agaknya.” Pak Budin yang pada mulanya menyangka bahawa orang membakar sampah.


Mereka berdua pun beredar meninggalkan jeti. Tiba-tiba mereka terdengar teriakan Pak Kassim.

“Budin! Rumah kau.” jerit Pak Kassim.


Dalam kekalutan, Pak Budin dan anaknya berlari sepantas kilat pulang ke rumah. Setibanya mereka di rumah, Pak Budin lekas merempuh pintu rumah yang separa terbakar itu untuk cuba masuk dan menyelamatkan isterinya, Mak Senah. Suasana riuh rendah manusia di sekeliling tidak lagi dihiraukan oleh Pak Budin. Api sudah membaham atap bumbung teratak kecil keluarga itu. Dinding kanan rumah itu rebah dan bahang mula menyambar muka.


“Allahuakbar…” suara Amin yang keluluhan menahan air mata yang ingin mengalir membasahi pipi.

Amin memandang ke kanan dan ke kiri, sedang orang ramai sedang sibuk dan kecoh memadam kebakaran, Amin berlari menuju ke pintu rumah untuk cuba menyelamatkan ibunya, tetapi Pak Kassim menyentap tangannya,


“Bahaya Amin!” tengking Pak Kassim

“Mak! Mak!” jerit Amin.


Amin meronta-ronta dari pautan Pak Kassim. Amin sekuat hati mencuba untuk melepaskan dirinya tetapi Pak Kassim memegangnya dengan kuat dan menghalang Amin untuk masuk ke dalam rumahnya yang sedang dijilat api.

***


“Saya nak keluar sekejap ya, jaga kedai elok-elok.”

“Baik bos, bos nak keluar ke mana?” kata pekerjanya.


Amin keluar dari kedai tersebut tanpa memberitahu hala tujunya kepada pekerjanya. Namun pekerjanya sudah tahu ke mana hala tuju Amin yang sebenarnya.


“Alhamdulillah sampai juga,”

“Assalamualaikum mak, ayah, apa khabar? Adik ni… alhamdulillah mak, adik dah tunaikan hasrat mak. Adik sekarang sudah ada cawangan kedai keropok ikan. Ayah… adik sekarang dah tak pergi ke laut, adik dah ada pekerja untuk pergi menjaring di laut.”


Sambil Amin mengusap batu nisan pusara arwah Mak Senah dan Pak

Budin. Amin selalu menziarahi pusara ibu dan ayahnya, lagi-lagi jika berkenaan perniagaannya.




--

A. Dany Aziz



99 views0 comments

コメント


bottom of page