#KUASARAKYAT (EDISI 1):BORNEO KOMRAD

Salam sejahtera. Terima kasih atas kesudian untuk diwawancara dalam ruangan ini. Boleh ceritakan secara ringkas tentang Borneo Komrad dan sejarah penubuhannya.
​J: Borneo Komrad ditubuhkan sekitar tahun 2015-2016. Pada ketika itu Borneo Komrad cuma berpusat di Kota Kinabalu. Nama lebih tepatnya adalah Gerakan Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah. Pada ketika itu anak muda Universiti Malaysia Sabah mula turun dan melihat serta membuat pengamatan tentang masyarakat-masyarakat terpinggir sekitar sana. Setelah banyak diskusi-diskusi panjang bersama kawan-kawan dan teman-teman, mereka akhirnya memilih untuk membuat advokasi pendidikan kepada anak-anak yang terpinggir ataupun anak-anak marginal. Untuk gerakan itu sendiri Borneo Komrad merupakan gerakan kolektif anak muda Universiti Malaysia Sabah lalu berkembang, dan menubuhkan sekolah alternatif sehingga terdapat di tiga buah pusat pendidikan alternatif di daerah Tawau, Semporna dan Teluk Layang di Kota Kinabalu. Pada tahun 2024, tepatnya lagi pada tarikh 8 Julai, sebuah lagi pusat pendidikan iaitu Universiti Alternatif akhirnya ditubuhkan. Ruang ini dibuat dan dibuka kepada anak-anak yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Idea penubuhan Universiti Alternatif ini sebenarnya datang daripada pelajar-pelajar kita sendiri yang sudah bergraduasi dan sudah meningkat dewasa. Mereka pada mulanya mempersoalkan tentang bagaimana untuk menjadi mahasiswa seperti yang lain serta bagaimana untuk meningkatkan martabat mereka. Bagi menjawab persoalan mereka, maka terpanggillah kami untuk membuka Universiti Alternatif bersama mereka dan idea-idea itu pun datang daripada mereka.

Rumah atas air yang kita sewa sebagai ruang pendidikan sejak 2018.
Apakah bentuk advokasi dan kerja komuniti yang dikerjakan oleh Borneo Komrad?
​J: Khususnya untuk Borneo Komrad, sekarang kita menjalankan advokasi pendidikan kepada anak-anak terpinggir sepenuh masa dan ia berlangsung di tiga buah daerah tadi yang saya sebutkan; Tawau,Kota Kinabalu dan juga di Semporna. Di samping itu, untuk gerakan-gerakan kecil di bawah seperti dalam komuniti, pelajar-pelajar kita juga sudah mulai menjalankan projek-projek komuniti mereka sendiri. Antaranya, pelajar kami menjalankan program kebun komuniti serta pengurusan sampah di mana mereka akan mengumpulkan sampah dan membawanya ke tong sampah yang lebih besar. Untuk pengetahuan pembaca, tong sampah tersebut agak jauh sedikit daripada kawasan tempat tinggal. Oleh itu, mereka perlu kumpulkan sampah itu dan membawanya ke tempat pengumpulan sampah. Seterusnya, kita juga menjalankan projek kompos. Kami akan mengumpulkan sisa makanan daripada jiran-jiran sekitar komuniti lalu memprosesnya untuk dijadikan kompos dan disalurkan kembali ke kebun komuniti.
​
Bagaimanakah Borneo Komrad menjalankan gerak kerja dan keanggotaannya?
​J: Borneo Komrad menjalankan gerak kerja secara kolektif dengan membuat keputusan bersama-sama antara aktivis-aktivis jika ingin menyelesaikan sesuatu perkara. Untuk gerak kerja dan keanggotaan, Borneo Komrad tidak ada keahlian. Sesiapa yang ingin menggelarkan dirinya Borneo Komrad, kami akan terima dan hargai asalkan mempunyai tujuan yang sama. Secara teknikalnya pula, kami mempunyai seorang yang mengurus bahagian pengurusan, seorang koordinator serta lima orang guru aktivis yang bekerja sepenuh masa dan bertugas di kawasan masing-masing. Untuk gerak kerja Borneo Komrad pula, kami memang didasari oleh situasi dan sikap kolektif itu sendiri. Maka dengan itu, kami tiada hierarki yang mengatakan bahawa Borneo Komrad ini kepunyaan satu pihak sahaja. Setiap anggota diberi kepercayaan untuk melakukan apa sahaja dan bersedia untuk disoal jika terdapat permasalahan yang berlaku. Bagi guru komuniti yang berada di lapangan, mereka masing-masing mempunyai autonomi sendiri. Begitu juga dengan pengurusan dan koordinator yang mengawal secara penuh pergerakan di bawah. Bukan bermaksud tidak boleh ditegur jika melakukan kesalahan tetapi perkara itu mampu melancarkan tugas yang dilakukan agar lebih fleksibel dan lebih merakyatkan. Maka dengan itu,kami boleh melihat segala keputusan yang dibuat itu berdasarkan situasi semasa dan keadaan semasa pada waktu itu.

Komrad Zikri menetap di Kampung Hidayat untuk mengamati dan melihat secara langsung perjalanan sekolah dan komuniti di sekitarnya.
Apakah maksud dan konsep “Masyarakat Adat Laut” yang diperjuangkan oleh Borneo Komrad?
​
J: Secara ringkasnya, Masyarakat Adat Laut ini adalah masyarakat yang hidupnya bergantung sepenuhnya kepada lautan. Mereka seringkali tinggal berdekatan dengan laut. Mereka masih mengamalkan adat-adat ritual seperti melepaskan "bogo" atau perahu kecil ke laut jika terdapat penyakit atau bencana di sekitar mereka. Dari segi kehidupan pula, terdapat beberapa fasa sehingga mereka berasimilasi dengan kemodenan yang ada. Di sekitar daerah Semporna terbahagi kepada empat tahap. Tahap pertama adalah masyarakat yang masih mengamalkan kehidupan secara nomad, sentiasa berpindah randah . Tahap kedua pula bagi mereka yang tinggal di atas bot. Untuk tahap ketiga pula adalah bagi masyarakat yang membina rumah di persisiran pantai. Tahap keempat pula untuk segelintir daripada mereka yang telah berevolusi menjadi masyarakat moden tinggal dan di darat atas sebab pekerjaan. Dari segi ekonomi pula, terdapat beberapa dari mereka lebih selesa menetap berdekatan dengan laut atas sebab mabuk daratan. Pekerjaan mereka sangat berkait dengan lautan seperti nelayan dikeranakan cinta yang mendalam mereka terhadap laut.

“Masyarakat Adat Laut” Foto & laporan: Mustaqim Khairuddin | BERNAMA
Di manakah Borneo Komrad menjalankan kerja komunitinya? Dan bagaimanakah rakyat Malaysia boleh menyokong advokasi kalian?
J: Dengan penyampaian cerita ini ke luar sana bagi masyarakat yang ingin menyokong kami pun sudah cukup besar bagi kami. Kami berpusat di Semporna dan terdapat 2 tapak sekolah alternatif berasingan lagi di Kota Kinabalu dan Tawau. Ramai orang awam serta pihak agensi yang datang membantu. Ada juga sekadar melakukan pengamatan untuk tujuan penulisan. Lazimnya, kami menyediakan ruangan, jika ada, untuk didanai pembaikan pulih ruangan belajar supaya masyarakat di luar merasa mereka juga mempunyai sebahagian kecil dalam perjuangan ini. Kami juga menerima sukarelawan yang berminat untuk memberi sokongan dan menggerakan advokasi kami seperti tenaga pengajar untuk sekolah-sekolah alternatif ataupun Universiti Alternatif.
​
Apakah pencapaian-pencapaian besar yang telah dicapai oleh Borneo Komrad sepanjang menjadi gerakan rakyat?
J: Bertahan dan beroperasi selama 10 tahun adalah satu pencapaian yang besar bagi kami di Borneo Komrad. Selain itu, pusat pendidikan diuruskan hampir sepenuhnya oleh pelajar yang telah graduasi dari pusat alternatif kami dan guru-guru banyaknya cuma memberikan nasihat jika diperlukan. Setelah 10 tahun masih terdapat anak-anak yang berkeinginan tinggi untuk menimba ilmu dan kemudiannya memberi kembali kepada komuniti mereka itu sendiri.
​
Apakah perancangan Borneo Komrad ke hadapan dalam membela masyarakat terpinggir di Sabah?
J: Borneo Komrad sangat solid tentang penubuhan Jawatankuasa Khas daripada Kerajaan di mana kami berniat untuk mengumpulkan lebih banyak agensi kebajikan, Badan Kerajaan serta NGO di dalamnya. Sudah hampir seabad lamanya aktivis stateless di Sabah ini berlaku dan sehingga kini usaha-usaha mengetengahkan komuniti marginal giat diperjuangkan dengan banyaknya program, contohnya acara yang bertempat di SICC pada tahun 2024. Melalui Universiti Alternatif, Kelas Bintang dibawah naungan mahasiswa Borneo Komrad ini bertindak sebagai usaha-usaha kecil membangun kanak-kanak golongan terpinggir terutamanya tentang keperluan pendidikan dan juga semangat kekitaan sesama kawan-kawan dalam kumpulan solidariti dapat memanggil atau menarik perhatian mereka yang boleh membantu kerja-kerja dan komuniti ini. Kami juga merancang aktiviti tahunan dengan memfokuskan aktiviti komuniti di sekitar Pulau Timban Batu melalui hiking trail Kelas Hutan, eko-pelancongan Borneo Komrad Travel & Tour (BK Travel & Tour) yang bekerjasama dengan beberapa pihak seperti Jabatan Perhutanan Sabah, Jawatan Kuasa Imigresen termasuklah pasukan kami dari Kota Kinabalu dan Tawau. Di sini kami melatih komuniti kemahiran mesra pelanggan dan berfikir secara kritis disamping memberi sokongan moral supaya memperbaiki status sosial dan ekonomi mereka.
​
Di manakah rakyat Malaysia boleh akses untuk mendapatkan informasi dan maklumat berkaitan Borneo Komrad?
J: Kami menyediakan informasi dan maklumat perkembangan kerja-kerja lapangan dan program di laman Instagram, Facebook, Twitter, Youtube dan Tiktok dengan kod carian Borneo Komrad.
​
Apakah pandangan Borneo Komrad terhadap landskap aktivisme dan iklim gerakan rakyat di Sabah?
J: Stigma tentang pendatang tanpa izin mulai beransur pulih dari tahun ke tahun dengan adanya teknologi yang lebih moden di mana maklumat-maklumat tentang gerak kerja aktivis lebih mudah diakses oleh masyarakat terkini. Perbatasan antara pantai barat dan timur juga dapat di atasi bilamana aktivis ataupun NGO dari mana-mana lokasi mudah turun ke lapangan untuk melihat dan mengamati lapangan tersebut. Kebangkitan aktivis mahasiswa juga boleh dilihat apabila mereka mulai mengatur demonstrasi tentang isu-isu semasa berkaitan anak-anak terpinggir ini.
​
Terima kasih Borneo Komrad atas masa dan ruang yang diberikan. Berikan kata-kata terakhir kepada para pembaca ruangan Arkib Kuasa Rakyat.
J: Kami sangat hargai segala bantuan serta sokongan daripada kawan-kawan seperjuangan dan komuniti terlibat terus membakar semangat bagi meneruskan solidariti Borneo Komrad selama hampir 10 tahun Borneo Komrad ditubuhkan. Kami sangat berharap cerita-cerita masyarat kelas bawah ini dapat disebar seluas-luasnya agar mereka terlihat sebagai seorang masyarakat yang hidup. Masyarakat di luar sana boleh mengikuti perkembangan kami melalui laman media sosial rasmi kami di Facebook, Instagram dan juga Tiktok dengan carian Borneo Komrad. Kami juga berharap sekysen Arkib Kuasa Rakyat mampu menjadi salah satu rujukan untuk teman-teman di luar sana bagi melihat kerja kami di lapangan.

2 hari belajar tentang Psychological First Aid (PFA) bersama HumanKind

Nur Fatin Syahierah salah satu pelajar Sekolah Alternatif Semporna daripada kelas Kerismas mewakili guru-guru dan kawan-kawan yang lain membentangkan tentang Borneo Komrad dan Sekolah Alternatif.